PENGENALAN
Program pengasuhan kanak-kanak KEMAS atau dikenali dengan nama Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) adalah selaras dengan Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar. Program ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, bandar dan pinggir bandar bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin.
Perkhidmatan TASKA termasuk di bawah Program Kesejahteraan Rakyat (PKR) atau Progrm Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Tujuannya untuk memberi peluang kepada ibu-ibu bergiat di bidang ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup keluarga. Di samping itu juga melalui TASKA, program pendidikan keibubapaan dapat dilaksanakan untuk ibu bapa dan masyarakat.
OBJEKTIF
- Menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak dalam suasana yang selamat, ceria dan selesa.
- Menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu
- Menyediakan makanan seimbang dan berkhasiat bagi membantu pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak serta mengamalkan gaya hidup sihat.
- Menerapkan nilai-nilai murni supaya kanak-kanak dapat menghayati dan mengamalkannya sejak kecil
Menggalakkan kecerdasan dan kemahiran fizikal serta amalan, kebersihan dan keselamatan yang baik melalui aktiviti fizikal.
PENTADBIRAN
Pengasuh TASKA
Bertanggungjawab dalam pengasuhan, menjaga keperluan asas, kebersihan, perhubungan yang sihat, menyediakan persekitaran dan merangsang perkembangan kanak-kanak di samping dengan ibu bapa.
Pemilihan dari kalangan ibu bapa, pemimpin dan masyarakat setempat. Jawatankuasa bertanggungjawab dalam pengurusan atau pentadbiran TASKA, Aktiviti Kokurikulum dan Aktiviti Penglibatan Masyarakat.
PENGASUHAN
Tempoh Masa Pengasuhan
Tempoh masa pengasuhan sehari di TASKA ialah jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang berjumlah 6 hari seminggu. Terdapat juga perkhidmatan TASKA, terutamanya di luar bandar beroperasi separuh hari dari jam 7.30 pagi hingga 1.00 tengahari sahaja yang berjumlah 5 hari seminggu.
Ahli Jawatankuasa TASKA bertanggungjawab menetapkan tempoh masa ini mengikut kesesuaian waktu bekerja ibu bapa dan masyarakat setempat.
Kurikulum
TASKA KEMAS menggunakan Modul Asuhan Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diintegrasikan dengan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Aktiviti dilaksanakan mengikut kebolehan, minat dan peringkat umur kanak-kanak 2 hingga 4 tahun.
Komponen pembelajaran dilaksanakan secara bersepadu seperti berikut:
- Bahasa dan Komunikasi
- Pendidikan Kerohanian dan Moral
- Perkembangan Kognitif
- Perkembangan Sosioemosi
- Perkembagan Fizikal
Kreativiti dan Estetika